Monday, October 12, 2009

Jalani hidup apa adanya

Lanjutan dari mesyurat madrasah tidak rasmi semalam, saya terpaksa menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dengan hal-ehwal madrasah keesokan harinya. Disebelah pagi, saya membantu isteri saya menyemak perancangan persediaan madrasah tahun depan dan juga program untuk cuti sekolah. Selepas itu, kami ke madrasah untuk menguruskan sesi fotografi 'konvokesyen' pelajar-pelajar tadika 6 tahun. Selesai 1/2 jam selepas itu, saya dan isteri ke pasaraya untuk membeli kelengkapan harian madrasah. Masa terasa begitu cepat. Kami terpaksa pergi ke beberapa tempat lagi untuk menyelesaikan urusan madrasah. Selepas berurusan di beberapa bank di Puchong, kami seterusnya ke Majlis Perbandaran Sepang yang terletak di Cyberjaya. Tujuannya adalah untuk mengambil borang permohonan bagi pemasangan banner dan bunting. Destinasi seterusnya ialah ke pejabat JAIS daerah Sepang yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Ada beberapa perkara yang perlu diuruskan disitu. Setelah selesai, kami ke Bandar Baru Nilai untuk ke Bank Islam kerana itulah cawangan yang paling dekat dengan Bandar Baru Salak Tinggi. Kami makan tengahari, itupun dah dekat pukul 4 petang.
Ketika saya menunggu isteri saya berurusan dibank di Puchong, saya on radio dan dengar satu kuliah dzohor. Tajuknya berbunyi "Jalani hidup apa adanya". Catatan bebasnya adalah seperti berikut;
1. Disebalik kesulitan yang dihadapi sebenarnya tersembunyi hikmah tentang apa yang berlaku.
2. Orang yang bijak dan adil itu menganggap bahawa setiap luka yang terjadi pasti ada harganya (maksudnya ada hikmah disebaliknya).
3. Allah menjadikan dunia ini dalam dua hal yang bertentangan. Sebagai contoh, baik lawannya buruk, senang lawannya susah dan seterusnya. Maka segala yang baik itu akan dikumpulkan didalam syurga manakala yang buruk dan jahat itu akan dikumpul didalam neraka. Maka atas sebab itu, kita kena lawan perkara-perkara yang membawa kepada keburukan dan kejahatan ini.
4. Dunia adalah terlaknat disisi Allah kerana ia tidak mempunyai harga disisi Allah Ta'ala. Yang bernilai disisi Allah Ta'ala ialah zikir iaitu mengingati-Nya. Orang yang dipandang Allah Ta'ala ialah orang yang melakukan perbuatan yang dicintai Allah dan orang alim yang menimba ilmu yang bermanfaat.
5.Maka atas sebab itu, jalanilah hidup di dunia apa yang ada didalamnya. Carilah segala kebaikan dan bersyukur dengan apa yang ada. Janganlah seorang mukmin itu membenci isteri atau suaminya disebabkan hanya satu perangainya tetapi ingatkanlah segala kebaikan yang ada pada dirinya kerana manusia itu tidak sempurna.




Bangunan Majlis Perbandaran Sepang


Laluan keluar dari bangunan Majlis Perbandaran Sepang


Bangunan Majlis Perbandaran Sepang dari jalan utama


Pejabat JAIS daerah Sepang. Letaknya di Bandar Baru Salak Tinggi. Urusan pendidikan, dakwah, syariah peringkat daerah berpusat disini



Bahagian pendidikan letaknya di tingkat atas (tingkat 1)


Laluan ke unit Pendidikan Islam

Kami sampai di Bandar Baru Nilai sekitar jam 3.30 petang. Mujur bank belum tutup.


Hotel Allson Klana yang terletak di tengah-tengah Pusat Bandar Baru Nilai bertentangan dengan Bank Islam


Deretan kedai di Bandar Baru Nilai


Makan tengahari disebuah restoran di Bandar Baru Nilai. Ambil lauk ikan bakar (kembung seekor dan pari sekeping) + nasi dua pinggan + lauk sayur + air barli panas + jus tembikai. Kena RM20. Isteri saya musykil pasal apa mahal sangat. Kata si penjual, harga pari sekeping tu je RM 6.50. Entah le, tapi rasanya kalau saya makan di restoran ayam kampung, ambil lauk nasi + sayur + ikan bakar + sirap limau pun baru RM6 seorang. Samada harga lauk memang dah naik atau restoran tu jual mahal, Wallahualam.

No comments:

Post a Comment