Wednesday, November 4, 2009

Makam Daeng Kuning

Pada pertengahan tahun lepas, saya telah berkesempatan menziarahi makam Daeng Kuning. Makam Daeng Kuning terletak di Kampung Tupai, berdekatan Jalan Pokok Assam di Taiping. Makam ini telah diwartakan sebagai bahan sejarah dan kini terletak di bawah jagaan Muzium Negara menurut Akta Bendapurba, 1976. Kalau saya tak ditunjuk lokasi makam ini oleh seorang pakcik (Allah! Lupa nama pakcik yang bantu saya ini) yang merupakan sahabat kepada ayahanda saya, sudah tentu saya tak jumpa makam ini walaupun kawasan itu bukanlah asing bagi saya. Ini adalah kerana banyak bangunan baru telah dibina disekitar makam menyebabkan kedudukan makam itu sudah terlindung dan agak tersorok sedikit di belakang bangunan. Agak menyedihkan juga kerana ketika saya menziarahi makam tersebut, papan tanda makam juga sudah hilang.
Tentang siapa Daeng Kuning ini, berikut saya sertakan sejarah ringkas tentang tokoh ini yang saya olah dan susun semula dari laman web berikut, http://gelanggangdatomeor.com/v1/content/view/41/69/lang,en/ dan http://gayong.freeservers.com/mhgrbiodata.htm

Dalam tahun 1813 Masehi, Daeng Kuning tujuh bersaudara telah mendarat di Kuala Larut, Perak. Setelah mendarat, mereka bermastautin di suatu tempat yang mereka namakan sebagai Pengkalan Alur atau Relur Tujuh. Kini tempat tersebut dipanggil Kampung Ayer Kuning, terletak di Taiping, Perak. Daeng Kuning merupakan seorang pahlawan terkenal yang digelar sebagai Panglima Hitam. Beliau adalah moyang kepada Mahaguru Dato' Meor Abd Rahman, pengasas Silat Seni Gayong. Daeng Kuning dikatakan mewarisi ilmu kependekaran daripada nenek moyangnya seorang pendekar yang dikenali sebagai Pahlawan Gayong. Pahlawan Gayong ialah seorang pendekar terbilang yang menguasai ilmu persilatan secara zahir dan kebatinan. Daeng Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata sundang lipas dan amat tersohor di kepulauan Melayu dan digeruni oleh lawannya. Ada sumber yang mengatakan bahawa Dato' Laksamana Hang Tuah adalah pewaris amanah ilmu Pahlawan Gayong. Diriwayatkan hanya Daeng Kuning menetap di Pengkalan Alur dan bertapa buat beberapa ketika di dalam sebuah gua di Bukit Larut. Manakala saudara Daeng Kuning yang lain bergerak menuju ke Pahang, Terengganu, Johor, Selangor, Melaka dan Kedah. Ada yang terus menetap di negeri singgahan mereka dan ada antaranya yang meneruskan perjalanan berikutnya ke Kepulauan Melayu lain. Daeng Kuning telah mendirikan rumahtangga dengan seorang puteri raja Patani. Perkahwinan tersebut menghasilkan seorang cahaya mata lelaki yang dinamakan Che Ngah Tambah. Daeng Kuning digelar oleh penduduk tempatan sebagai Tok Hitam Dam. Gelaran tersebut cukup terkenal hinggakan sebatang jalan di Kampung Pokok Assam dinamakan Jalan Tok Hitam Dam. Daeng Kuning mangkat di Taiping, Perak dalam tahun 1875 Masehi. Anak tunggal Daeng Kuning, Che Ngah Tambah juga memiliki ilmu yang tinggi dan sifat kepemimpinan yang unggul. Beliau merupakan tokoh yang membuka Daerah Larut-Matang dan dilantik menjadi seorang Penghulu Besar bagi daerah tersebut. Atas kewibawaan beliau, Che Ngah Tambah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang daripada Orang Besar Enam Belas Negeri. Salah seorang anak Che Ngah Tambah ialah Uda Mohd Hashim yang merupakan ayahanda kepada Dato' Meor Abdul Rahman.






Makam Daeng Kuning ditanda dengan kain kuning menandakan beliau mempunyai darah raja

Papan tanda makam telah tiada


Kedudukan makam agak terlindung dibelakang bangunan-bangunan kedai yang baru dibina

No comments:

Post a Comment