Monday, November 30, 2009

KFC

Hari Raya Korban baru-baru ini saya sekeluarga menyambutnya di kawasan Lembah Kelang sahaja. Program madrasah agak tight selepas raya jadi kami terpaksa membuat persiapan sebaik mungkin untuk memastikan program berjalan dengan lancar. Anak-anak saya sangat sukakan kentang putar. Pilihan yang ada ialah KFC kerana hampir semua kedai makan tutup kecuali kedai makanan segera dan beberapa buah kedai mamak. Kami ke cawangan KFC di Tesco Puchong. Saya tidak pasti ianya cawangan yang keberapa. Ikut laman web KFC, rangkaian makanan segera ini memiliki 390 buah cawangan semuanya. KFC memulakan operasinya di cawangan yang pertama di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 1 Jan 1973. Cerita lanjut boleh dirujuk di laman web rasminya iaitu di http://www.kfc.com.my/about-malaysia.html. Berkunjung ke sini mengingatkan saya kepada satu lagi rangkaian makanan segera yang berasaskan ayam goreng iaitu McDota. Ayam goreng McDota sangat popular pada awal 80-an dahulu. Ketika saya kecil dahulu, restoran McDota menjadi tumpuan penduduk Taiping. KFC belum lagi memulakan operasi pada waktu itu. Kini McDota hanya tinggal kenangan.


KFC cawangan Tesco Puchong

Outlet McDota yang popular pada dekad 80-an (Gambar diambil dari http://www.mcdota.com/)

Haji

Saya ke Taman TAR Ahad lepas untuk mengikuti majlis ilmu Syeikh Fuad.Kitab yang disyarah ialah kitab karangan Tuan Hussain Kedah berjudul Titisan Hujan Lautan Sufi. Syarah bermula selepas maghrib. Saya sampai agak awal. Sambil menunggu waktu maghrib, saya membelek sebuah buku yang berkaitan dengan ibadah haji. Buku ini edisi lama. Yang menarik perhatian saya ialah gambar-gambar yang dimuatkan didalamnya. Rasanya gambar-gambar yang ada didalam buku ini dirakam sekitar pertengahan 80-an. Saya rakamkan pula beberapa gambar dari buku ini sebagai kenangan.


Panduan ringkas Haji



Panduan ringkas Umrah



Jabal Uhud



Perkuburan al-Baqi' di Madinah

Wednesday, November 25, 2009

Malam hari Arafah

Menara masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang


Saya menghadiri majlis ilmu di Taman TAR malam tadi. Saya ada membuat catatan bebas tentang syarah yang disampaikan Syeikh semalam. Seperti dalam majlis ilmu yang lepas-lepas, setiap kali masuk kepada bab meriwayat hadith, Syeikh pasti akan mengingatkan hadirin tentang pentingnya mempunyai hubungan atau pertalian nasab dengan tokoh-tokoh yang berada dalam rantaian sanad hingga sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah saw kerana mereka inilah yang membimbing roh kita. Majlis bermula selepas maghrib dan selesai sekitar jam 9.30 malam.

Risalah Jumaat

Risalah ini adalah risalah awalan kepada entri yang sebelum ini. Klik pada imej untuk lihat dengan lebih jelas.




Halaman 1


Halaman 2

Monday, November 23, 2009

Taiping

Taiping merupakan antara bandar tertua di Malaysia. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Taiping adalah pusat pentadbiran terawal di Perak (jika merujuk kepada perkembangan ekonomi sejak kemasukan Inggeris). Ura-ura untuk memindahkan pusat pentadbiran ke Ipoh dicadangkan pada tahun 1927 tetapi tiada tindakan diambil sehinggalah pada tahun 1937 dimana perpindahan dilakukan secara beransur-ansur dalam tempoh 7 tahun. Ketika cadangan perpindahan pusat pentadbiran itu diwar-warkan, ramai penduduk Taiping yang menentang khususnya dari kalangan mereka yang berpelajaran Inggeris. Mereka menyuarakan bantahan mereka di dalam akhbar Taiping Weekly Record. Pada masa yang sama, penduduk Ipoh pula menyokong perpindahan tersebut dan sokongan mereka dizahirkan didalam akhbar Times of Malaya. Bantahan penduduk Taiping tidak diendahkan oleh pemerintah pada waktu itu. Akhirnya, selepas Perang Dunia Ke-2 berakhir, pusat pentadbiran Perak dipindahkan sepenuhnya ke Ipoh. Untuk cerita penuh tentang sejarah Taiping, salah satu buku yang boleh dirujuk ialah tulisan Prof Khoo Kay Kim yang bertajuk Taiping Ibukota Perak. Buku ini dikeluarkan oleh Persatuan Muzium Malaysia, Muzium Negara pada tahun 1981 (cetakan pertama). Buku setebal 35 mukasurat ini juga mengandungi beberapa gambar lama Taiping yang kaya dari segi sejarahnya.



Jalan Besar Taiping tahun 1880 - 1882


Peta Perak tahun 1870-an

Jalan Kota, Taiping


Bandar Taiping tahun 1870

Sayyid Ahmad Ibn Zaini Dahlan al Hasani

Saya menghadiri majlis ilmu di Taman TAR pada hari Ahad baru-baru ini. Selepas asar, Syeikh Fuad mensyarah kitab Hikam Abi Madyan. Manakala selepas maghrib, Syeikh Fuad mensyarah pula kitab Fitnah Wahhabi yang asalnya dikarang oleh al-Imam Sayyid Ahmad ibn Zaini Dahlan al-Hasani. Kata Syeikh, Sayyid Ahmad Zaini ini adalah seorang ulama besar dan sangat alim. Beliau (Sayyid Ahmad Zaini) pernah berkata, Sesungguhnya Shahih Bukhari disisi aku adalah seumpama al-Fatihah (biografi ringkasnya boleh dibaca dibawah ini). Selepas selesai syarah dan solat isyak, majlis maulid pun bermula. Imam Jauzi menyatakan, tempat yang dibaca maulid akan aman sekurang-kurangnya selama setahun. Membaca maulid ini tujuannya tidak lain iaitu meninggikan martabat Nabi saw. Kata Syeikh, meninggikan martabat Nabi saw ini adalah wajib. Jika rahmat Allah Ta'ala turun tatkala kisah orang alim dibacakan apatah lagi kisah baginda saw yang merupakan kekasih-Nya yang utama. Maka membaca maulid ini adalah sangat dituntut kerana banyak hikmah yang terkandung didalamnya. Syeikh turut mengijazahkan amalan membaca surah al-Insyirah (dibaca dalam rakaat pertama) dan surah al-Fil (dibaca dalam rakaat kedua) dalam solat sunat Subuh. Kata Syeikh, elok baca kedua-dua surah ini dalam solat sunat subuh untuk hindarkan diri dari kejahatan.
Biografi ringkas al-Imam Sayyid Ahmad ibn Zaini Dahlan al-Hasani


Sayyid Ahmad Zaini Dahlan adalah merupakan seorang Syeikhul Islam, Mufti Haramain dan Pembela Ahlus Sunnah Wal Jama`ah. Beliau berasal dari nasab yang mulia, ahlul bait Rasulullah melalui keturunan Sayyiduna Hasan, cucu kesayangan Rasulullah. Nasabnya adalah seperti berikut :
Al-Imam al-Ajal wal-Bahrul Akmal Faridu ‘Ashrihi wa Aawaanihi Syeikhul-Ilm wa Haamilu liwaaihi wa Hafidzu Haditsin Nabi s.a.w. wa Kawakibu Sama-ihi, Ka’batul Muriidin wa Murabbis Saalikiin asy-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan bin Ahmad Dahlan bin ‘Utsman Dahlan bin Ni’matUllah bin ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Athoya bin Faaris bin Musthofa bin Muhammad bin Ahmad bin Zaini bin Qaadir bin ‘Abdul Wahhaab bin Muhammad bin ‘Abdur Razzaaq bin ‘Ali bin Ahmad bin Ahmad (Mutsanna) bin Muhammad bin Zakariyya bin Yahya bin Muhammad bin Abi ‘Abdillah bin al-Hasan bin Sayyidina ‘Abdul Qaadir al-Jilani, Sulthanul Awliya` bin Abi Sholeh Musa bin Janki Dausat Haq bin Yahya az- Zaahid bin Muhammad bin Daud bin Muusa al-Juun bin ‘Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Mutsanna bin al- Hasan as-Sibth bin Sayyidinal-Imam ‘Ali & Sayyidatina Fathimah al-Batuul.[1]
Menurut riwayat, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan lahir di Makkah pada 1232H/1816M. Selesai menimba ilmu di kota kelahirannya, ia kemudian dilantik menjadi mufti Mazhab Syafi‘i, merangkap Syeikh al- Haram iaitu “pangkat” ulama tertinggi yang mengajar di Masjid al-Haram yang diangkat oleh Syeikh al-Islam yang berkedudukan di Istanbul, Turki. Beliau sangat terkenal, dan berangkat dari itulah maka beliau telah dipanggil dengan pelbagai gelaran antaranya al-Imam al-Ajal (Imam pada waktunya), Bahrul Akmal (Lautan Kesempurnaan), Faridu ‘Ashrihi wa Aawaanihi (Ketunggalan masa dan waktunya), Syeikhul-Ilm wa Haamilu liwaaihi (Syeikh Ilmu dan Pembawa benderanya) Hafidzu Haditsin Nabi – Shallalahu ‘Alaihi wa Sallam – wa Kawakibu Sama-ihi (Penghafal Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam dan Bintang-bintang langitnya), Ka’batul Muriidin wa Murabbis Saalikiin (Tumpuan para murid dan Pendidik para salik).
Diantara ulama-ulama Nusantara yang pernah berguru dengan ulama besar ini ialah :
·Kyai Nawawi Banten
·Kyai Muhammad bin Abdullah as-Shuhaimi
·Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathoni menurut satu riwayat
·Kyai Muhammad Saleh Darat
·Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif bin Abdullah al-Minankabawi
·Sayyid Utsman Betawi
·Tuan Hussin Kedah
·Syeikh Ahmad Yunus Lingga,
·Sayyid Abdullah az-Zawawi, Mufti Syafiiyyah, Makkah,
·Datuk Hj Ahmad Ulama Brunei,
·Tok Wan Din, nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathoni,
·Syeikh Abdul Qadir al-Fathoni
·Syeikh Abdul Hamid Kudus,
·Kyai Muhammad Khalil al-Maduri,
·Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi, Imam, Khatib dan Kadi Kuala Lumpur yang pertama,
·Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani,
·Syeikh Muhammad al-Fathoni bin Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdur Rahman bin ‘Utsman al Fathoni
·Tuan Kisa-i’ Minankabawi [atau namanya Syeikh Muhammad Amrullah Tuanku Abdullah Saleh.
·Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus
·Syeikh Utsman Sarawak
·Syeikh Abdul Wahab Rokan dan ramai lagi.
Sayyid Ahmad Zaini Dahlan adalah seorang ulama yang rajin mengarang. Kitab-kitab yang dihasilkannya sangat banyak. Antaranya ialah seperti:
1. al-Futuhatul Islamiyyah;
2. Tarikh Duwalul Islamiyyah;
3. Khulasatul Kalam fi Umuri Baladil Haram;
4. al-Fathul Mubin fi Fadhoil Khulafa ar-Rasyidin;
5. ad-Durarus Saniyyah fi raddi ‘alal Wahhabiyyah;
6. Asnal Matholib fi Najati Abi Tholib;
7. Tanbihul Ghafilin Mukhtasar Minhajul ‘Abidin;
8. Hasyiah Matan Samarqandi;
9. Risalah al-Isti`araat;
10. Risalah I’raab Ja-a Zaidun;
11. Risalah al-Bayyinaat;
12. Risalah fi Fadhoilis Sholah;
13. Shirathun Nabawiyyah;
14. Mukhtasor Jiddan, Syarah Ajrumiyyah;
15. Fathul Jawad al-Mannan;
16. al-Fawaiduz Zainiyyah Syarah Alfiyyah as-Sayuthi;
17. Manhalul ‘Athsyaan dan banyak lagi
Setelah beberapa lama mengabdikan diri tinggal di Makkah, Saiyyid Ahmad bin Zaini Dahlan al-Hasani kemudiannya berangkat ke kota Madinah. Beliau tinggal disana hingga ke akhir hayat dan wafat di kota Madinah pada 1304H/1886M seterusnya dimakamkan disana.
[1] Rujuk “Taajul-A’raas”, juzuk 2, mukasurat 702 karya al-Imam al-’Allaamah al-Bahr al-Fahhamah al-Habib ‘Ali bin Husain bin Muhammad bin Husain bin Ja’faar al-’Aththaas



Kitab "Fitnah Wahhabi" yang disyarah oleh Syeikh malam itu

Sunday, November 22, 2009

Zulhijjah



Sekarang masuk bulan Zulhijjah. Bulan dimana didalamnya terkandung banyak hari kebesaran dalam Islam. Saya ke Taman TAR Sabtu lepas untuk mengikuti majlis ilmu Syeikh Fuad. Semua yang hadir pada hari itu telah diberikan risalah tentang kebesaran bulan Zulhijjah. Klik pada imej untuk lihat kandungan risalah dengan lebih jelas.


Muka 1

Muka 2

Muka 3

Muka 4

Muka 5


Muka 6

Muka 7

Muka 8

Keistimewaan Hari Jumaat

Sila rujuk artikel yang disertakan. Klik pada imej untuk besarkan artikel


Muka 1

Muka 2

Wednesday, November 18, 2009

Dimana ada kemahuan

Saya terbaca beberapa entri yang sangat menarik tentang pengalaman menuntut ilmu. Entri tersebut ditulis oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri (boleh dicapai disini, www. niknasri.com). Beliau asalnya dari jurusan Sains Tulen tetapi kemudiannya mendalami bidang agama setelah minatnya terarah ke situ. Pengalaman beliau yang sangat menarik ini elok dikongsi dan dijadikan inspirasi dalam usaha menuntut ilmu. Berikut saya petik sebahagian dari tulisan beliau,
Entri 1
.....Minat saya terhadap bahasa Arab berputik semenjak di tingkatan 4 Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur.... Selepas SPM, sementara menunggu keputusan SPM, saya mengaji kitab dengan beberapa orang ustaz dan tuanguru. Kitab Faridah al-Faraid dalam bidang tauhid dari arwah seorang ustaz, kitab Kifayah al-Muhtadi karya Syeikh Muhammad Nur alFathani yang merangkumi tauhid, fiqh dan tasauf dari arwah datuk saya, Hj Wan Harun b Wan Husin, kitab syarah Hikam Ibn Ataillah dan Sair as-Salikin dalam tasauf, Bughyah ath Tullab dan Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam bidang fiqh dari arwah Hj Wan Abdullah, bapa kepada mudir Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman, serta beberapa buah lagi. Ketika itu juga, setiap Jumaat akan berulang-alik ke Masjid Rusila mendengar kuliah Jumaat Tok Guru. Selepas itu saya memasuki matrikulasi sains UKM di Sekolah Sultan Mahmud, KT dan seterusnya di Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM, Bangi. Di UKM, saya dan beberapa teman dari Fakulti lain (selain Fakulti Pengajian Islam) sering menunggang motosikal bersama mencari ilmu. Kami ke Kajang, bertuangurukan arwah Ustaz Haji Hashim. Beliau lama belajar dan menetap di Mekah. Banyak kitab jawi yang kami ‘menadah’ dengannya. Ketika cuti semester panjang tahun 1, senior dan naqib saya, Ustaz Mohd Nor Omar (beliau juga dalam bidang sains asalnya seperti saya, bukan dari Fakulti Pengajian Islam, sekarang di Melaka) beritahu di Negeri Sembilan ada seorang tuanguru di sebuah pondok yang khusus mengajar Tatabahasa Arab. Beliau anjurkan kami ke situ. Bersama dengan sekitar berbelas sahabat dari UKM dari pelbagai Fakulti, kami belajar bahasa Arab (Nahu dan Saraf) dari arwah Hj Ali b Hj Musa di pondok Kg Siliau, Rantau, N.Sembilan.....
Artikel penuh tulisan ustaz boleh dirujuk disini
Entri 2 (sambungan entri 1)
Saya dan bersama beberapa orang sahabat dari UKM (sekitar 1988) belajar tatabahasa Arab (Nahu dan Saraf) di Pondok Tuan Hj Ali, Kg Siliau, Rantau, N.Sembilan. Ketika itu cuti semester panjang. Kebetulan bulan itu Ramadhan. Sebelum 1 Syawal, semua pelajar akan pulang, termasuk kami yang datang sementara waktu untuk belajar bahasa Arab di situ. Arwah Tok Guru Tuan Hj Ali pernah berkata ketika mengajar kami: ‘Kalau dapat seorang sahaja dari kamu ni untuk tinggal di sini, cukup dah’ Mungkin beliau melihat kami begitu cepat dan mudah memahami apa yang diajar. Dan memang saya sendiri cukup tertarik dengan kaedah pengajaran Tatabahasa Arab itu. Mudah difahami. Saya solat Istikharah. Akhirnya saya membuat keputusan untuk terus belajar di situ nanti dan meninggalkan Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM. IPU juga ditinggalkan.... Walaupun ibu pernah berkata: ‘Kalau habiskan dahulu pengajian di UKM tu lagi baik.’ Saya cuma berfikir kalau saya habiskan ijazah pertama di UKM, saya akan berfikir untuk bekerja pula, dan kemudian berkahwin. Peluang belajar seperti ini tidak selalu datang. Justru saya nekad dengan niat saya. Ada beberapa teman dari UKM yang mengajak saya kembali ke UKM. Saya tolak. Biarlah saya dengan keputusan saya. Bapa hanya berkata: ‘Buatlah, janji perkara itu baik.’ Selepas Syawal saya terus tinggal disitu. Bermula satu kehidupan yang berbeza dari kehidupan di kampus di UKM. Makan minum cukup sederhana. Suasana juga jauh dari hiruk-pikuk kampus. Dalam kawasan ladang getah, ditambah dengan kawasan ‘jin’ (?), saya melalui satu pengalaman baru. Tempoh keseluruhan belajar di Pondok Tuan Hj Ali yang dikenali sebagai Madrasah ad-Dhuafa’ wal-Masakin ialah mulai 20 Apr 1988 sehingga 2 Jan 1989. Kalau dipecah-pecahkan, maka 4 bulan pertama belajar ‘Undang-undang Nahu’ dan I’rab al-Quran. 2 buah kitab dihadam dan dilumatkan sungguh-sungguh iaitu yang dikenali di kalangan pelajar pondok ‘Syarah Mukhtasar Jiddan‘ yang dipelajari selama 3 bulan, termasuk kitab Matan Maqsud, imla’ serta insya’. Rutin seharian ialah solat subuh berjemaah. Awal pagi persiapan diri dan mengemas kawasan sekitar pondok. Jam 9 hingga 10 pembelajaran ‘Undang-undang Nahu’ dan I’rab al-Quran. Masa selepas itu untuk ulangkaji. Selepas Maghrib, meratib hingga ke Isya’. Tariqat Ahmadiah sangat terkenal di N.Sembilan. Kemuncak ‘Ya Latif‘ bergema di tengah kawasan ladang getah itu. Lepas Isyak, Tuan Hj Ali mengajar tasauf. Tanpa kitab, beliau hanya membuat lakaran (peta minda?) di papan hijau, lalu mensyarahkan apa yang dilakar. Sepanjang berada di pondok itu, beberapa kali peristiwa luarbiasa berlaku. Karamah kah? Wallahu a’lam. Kalau dikira, sebenarnya saya hanya mengambil 150 jam untuk mempelajari ‘Undang-undang Nahu’ itu, kemudian i’rab ayat-ayat al-Quran sehingga lancar. Tok Guru Tuan Hj Ali akhirnya menulis satu perenggan cerita atau hadis dalam bahasa Arab tanpa baris. Disuruhnya saya i’rab, baca dengan betul dan terjemah. Kata Tok Guru: ‘Haa tu dia. Kalau dah dapat baca dan buat macam tu, Nahu Saraf jalan lah tu. Nahu Saraf ni macam ayah dan ibu. kalau ada ayah dan ibu baru ada anak. Tak ada ayah dan ibu, mana boleh ada anak.’....
Artikel penuh tulisan ustaz boleh dirujuk disini
Entri 3 (sambungan Entri 2)
Pencarian ilmu diteruskan lagi. Selepas mendapat pengajian asas tatabahasa Arab di Pondok Siliau, Negeri Sembilan, saya mendengar khabar tentang sebuah pondok di Pengkalan Hulu, Perak. Dahulunya dikenali sebagai Keroh, Perak. Tuan gurunya ialah Ustaz Abdul Latif. Lebih dikenali dengan Pak Teh. Selepas solat istikharah, kecenderungannya ke sana.
Saya memasuki pondok itu pada 3 Jan 1989. Suasana jauh dari hingar bangar bandar, di Kampung Kuak Luar yang damai, penuh dengan bunyi cengkerik pada malamnya. Kabus malam dan awal pagi sangat menyejukkan. Mandi di tali air berdekatan. Tandas dari buluh cukup ringkas. Semua itu tidaklah menghalang dari memenuhkan masa sepanjang hari siang malam dengan ilmu. Tempoh 2 tahun (hingga bulan 11, 1990) di situ bukanlah lama. Ada yang sudah belajar, menetap dan berkahwin belasan dan puluhan tahun. Namun tempoh 2 tahun saya manfaatkan benar-benar. Untuk menjimatkan masa, saya bersarapan dengan nasi lemak yang dibeli. Tengahari hanya dengan segenggam beras yang ditanak, sebiji telur yang digoreng dan kicap sebagai kuah. Tak ada ikan yang disiang. Tak ada kelapa yang diperah. Ketika itu saya anggap semua itu membazir masa. Makan malam juga ringkas. Seawal lepas Subuh sehingga lewat malam, dalam tempoh itu, lebih 45 buah kitab dipelajari. Ini tidak bermakna kesemuanya dikhatamkan tetapi paling tidak ia dibuka, dibelek dan dipelajari. Saya senaraikan nama kitab-kitab tersebut (yang dipelajari teksnya dalam bahasa Arab dan jawi):
Tafsir: al-Jalalain, an-Nasafi, Taj at-Tafasir, al-Baidhawi (jawi)
Hadis: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, Bahr al-Mazi (jawi), Riadhus Salihin
Tauhid: Fath al-Majid, Tuhfah al-Murid, Aqidah an-Najin (jawi)
Fiqh: Fath al-Qarib, Fath al-Muin, I’anah at-Talibin, ‘Tahrir’, Mugni al-Muhtaj, Kifayah al-Akhyar, Mahalli, Fath al-Wahhab, Matla’ al-Badrain (jawi), Bughyah atTullab (jawi), Sabil al-Muhtadin (jawi), Kasyf al-Litham (jawi), Kifayah al-Muhtadi (jawi)
Usul fiqh: Al-Asybah wan Nazair, Jam’ al-Jawami’
Tasauf/ilmu akhlak: Minhaj al-Abidin, an-Nasaih adDiniyyah, Sair as-Salikin (jawi)
Sorof: ‘Kailani’, ‘al-Mirah’, Shazz al-Urf
Nahu: ‘Mutammimah’, ‘Sheikh Khalid’, ‘Ashmawi’, ‘Azhari’, Qatr anNada, syarah Ibn Aqil, ‘Taudhih’ (ada nama kitab yang dikenali dengan nama pengarang atau nama popular di samping nama asal)
Ulum Hadis: Mustalah al-Hadis karangan Sheikh Muhammad Alawi, Taqrirat asSaniyyah
Ilmu Tafsir: Atiyyah ar-Rahman
Mantiq: ‘Aisaghuji’
Waktu dan Bilangan kitab
Lepas solat Subuh (pukul 7-8 lebih) - 4 kitab
10-12 tengahari - 4 atau 5
Lepas solat Zohor (3-4 petang) - 3
Lepas solat Asar (5-6 petang) - 3
Lepas solat Maghrib - 3
Lepas solat Isyak - 2
10.30-12 malam - 2
Beginilah lebih kurang jadual pengajian sepanjang berada di Pondok Pak Teh. Hampir semua kitab dalam pelbagai disiplin ilmu dipelajari dalam bahasa Arab. Penguasaan Nahu Sorof ketika di pondok Tuan Guru Haji Ali Haji Musa di N.Sembilan cukup banyak membantu untuk menguasai dengan cepat kitab-kitab yang dipelajari di Pondok Pak Teh ini, Alhamdulillah....
Artikel penuh tulisan ustaz boleh dirujuk disini

Monday, November 16, 2009

Planetarium Negara


Kali terakhir saya berkunjung ke sini bersama-sama dengan rombongan pelajar ialah kira-kira 16 tahun yang lalu. Ketika itu saya masih bergelar pelajar. Lebih tepat lagi pelajar pra-universiti. Saya hadir bersama rakan-rakan menerusi anjuran kelab astronomi. Kali ini saya kembali menjejakkan kaki disini tetapi bukan sebagai pelajar sebaliknya sebagai seorang pentadbir madrasah. Saya hadir ke sini bersama rombongan pelajar madrasah (kira-kira 40 orang) yang berusia rata-rata antara 5 hingga 12 tahun dan beberapa orang guru pengiring. Begitu pantas masa berlalu. Planetarium yang saya kunjungi kira-kira 16 tahun lalu tidak banyak berubah dari segi prasarananya. Dari segi bahan pameran, saya tidak ingat adakah ianya masih bahan yang sama yang telah saya lihat kira-kira 16 tahun dahulu atau telah banyak berubah dengan pertambahan yang baru. Cuma yang pasti bahan pameran yang berkaitan dengan angkasawan pertama negara adalah yang terkini. Pada waktu kami sampai, planetarium dalam proses penaiktarafan. Ketika para pelajar masuk ke dalam bilik tayangan video, saya lebih selesa mengambil angin di luar sambil bersembang-sembang dengan petugas keselamatan di luar bilik tayangan video. Kata petugas, bayak bahan pameran baru yang telah ditempah dan dibawa masuk untuk tontonan umum. Sambil memerhati pemandangan sekitar, sekali-sekala teringat juga kenangan silam. Tempat dimana saya dan rakan-rakan pernah berteduh, berehat dan merakamkan gambar ketika berada disini 16 tahun yang lalu.


Peta lokasi Planetarium Negara
Terowong Pencala. First time saya melalui kawasan ini dalam perjalanan pulang ke Puchong dari Planetarium Negara

Muzium Kesenian Islam

Saya berkunjung ke sini bersama-sama dengan rombongan pelajar madrasah. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki disini. Peraturan disini sangat ketat. Gambar tidak boleh dirakam. Disebabkan ianya tidak boleh dirakam maka saya pun merakam beberapa keping gambar dari buku yang diterbit oleh pihak muzium sebagai kenang-kenangan. Buku tersebut saya perolehi ketika berada didalam bilik aktiviti kanak-kanak sewaktu mengawasi pelajar melakukan aktiviti bebas didalam bilik tersebut. Antara bahan pameran yang menarik perhatian saya ialah seperti berikut (yang saya rakamnya dari sebuah buku terbitan muzium, lupa tajuknya);






Senjata ini adalah sejenis pistol yang digunakan di zaman pemerintahan Sultan Selim III (1789-1807 M). Namanya ialah Flint Lock Pistol. Panjangnya sekitar 35.5 cm



Saya teringat kata-kata pegawai muzium yang menyebut bahawa kepala pistol yang berbentuk singa itu sebenarnya kepala anak singa betul yang telah diawet. Gigi dan lidahnya adalah gigi dan lidah sebenar yang telah diawet. Kepala anak singa itu adalah sebagai simbol kemegahan dan kepahlawanan raja-raja satu masa dahulu

Ini pula ia Keris Gayung Indonesia (dikatakan dari Minangkabau). Keris ini dipercayai digunakan pada abad ke 18-19 Masehi. Ia diperbuat dari suasa (campuran emas dan tembaga). Alurnya terdiri dari 7 luk.


Ukiran depan kotak mengisi al-Quran


Kotak berisi al-Quran ini dipercayai berasal dari Terengganu. Ia diguna sekitar abad ke 19 Masehi


Selain digunakan sebagai tempat menyimpan al-Quran, kotak ini turun digunakan untuk menyimpan risalah doa dan hizib



Ini ialah keris Sultan Abdul Jalil Indonesia Riau (Sultan Abdul Jalil IV Johor yang memerintah sekitar tahun 1712 Masehi). Alurnya terdiri dari 7 luk


Beg plastik Muzium. Didalamnya mengandungi dua buah buku yang saya beli di kedai buku dan cenderamata


Panduan muzium yang menunjukkan lokasi galeri



Dua buah buku yang saya beli. Setiap satu harganya RM9.90.


Pamplet tentang pameran khas "Perjalanan Haji ke Makkah"


Tiket dewasa berharga RM 12, kanak-kanak berharga RM 6. Apapun memang berbaloi.

Amanah dan Sabar

Tentang bab amanah dan sabar ini, saya telah melalui dan menghayatinya ketika terlibat dengan program lawatan pelajar baru-baru ini. Amanah yang dipikul terlalu berat sebaik sahaja ibubapa menyerahkan anak-anak mereka di bawah jagaan kami. Sepanjang rombongan, petugas termasuk saya perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka agar sentiasa patuh pada arahan dan mengawasi mereka agar sentiasa berada dalam lingkungan kawalan kami. Mengawal anak-anak yang berusia semuda 5 tahun bukanlah satu kerja yang mudah. Ia menuntut kesabaran yang tinggi. Tidak hairanlah apabila bab sabar ini diletakkan selepas seseorang itu melepasi maqam taubat, zuhud dan faqir kerana ianya amat sukar hendak dilaksanakan. Jadi sepanjang tempoh lebih dari 8 jam (dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang), saya sebenarnya telah melalui satu 'kelas pengajian bergerak". Didalamnya terkandung matapelajaran amanah dan sabar. Matapelajaran begini tidak mungkin dapat dihayati secara teori melainkan melaluinya sendiri. Segala keletihan dan beban yang terpikul di pundak bahu berakhir sebaik sahaja bas melabuhkan destinasi dan anak-anak berjalan girang menuju ke pangkuan keluarga, pulang dengan selamatnya. Amanah ibubapa telah disempurnakan dengan sebaik-baiknya dan erti sabar dihayati sepenuhnya.

Wednesday, November 11, 2009

Utusan

Saya hampir gagal mencari jalan 3/91A. Pada mulanya saya menjangkakan jalan 3/91A berdekatan dengan Jalan 6/91 tetapi rupanya bukan. Apabila saya lajak ke depan ke kawasan GMI, nama jalannya semakin 'bertambah' iaitu jalan 8/91, 11/91 dan sebagainya. Entah berapa kali saya 'tawaf' dikawasan Taman Shamelin Perkasa itu. Setelah puas tawaf, akhirnya saya berhentikan kereta di sebuah stesen minyak. Bertanyakan pekerja di stesen minyak, mana tahu mungkin diorang tahu. Rupanya diorang pun tak berapa mahir sangat nama jalan di kawasan itu. Main agak-agak saja. Kata mereka, jalan 3/91A berkemungkinan besar bersebelahan dengan jalan 1/91. Saya maklumkan kepada mereka bahawa saya dah pun lalu kawasan tu tapi tak jumpa. Mereka kata jalan di Taman Shamelin agak pelik sikit. Cuba lagi kawasan tu, kata mereka. Ok, kata saya walaupun saya tahu saya takkan jumpa jalan itu dikawasan yang mereka nyatakan. Saya pusing sekali lagi kawasan itu. Last-last saya ternampak jalan 3/91 disebelah kanan stesen minyak yang saya singgah tadi. Laa, macam mana boleh tak perasan. Nampaknya info yang mereka berikan memang salah. Sah bukan dekat dengan jalan 1/91. Saya pun masuk ke jalan 3/91. Harapan saya mengunung. Saya melintasi beberapa buah sekolah. Akhir sekali sampai ke hujung. Hujungnya ialah sebuah kawasan asrama perempuan kalau tak silap saya untuk pelajar KPTM. Kat mana pulak Jalan 3/91A ni, getus saya dalam hati. Saya berhenti kejap kereta di tepi jalan, cari idea. Ada seorang lelaki sekitar usia 40-an sedang jual aiskrim. Saya tanya lelaki tu, Bang, tau tak jalan 3/91A. Lelaki tu menggeleng kepala. Katanya, Saya kalau nama jalan, saya tak berapa tau sangat. Jawapan yang sama saya dapat dari beberapa orang yang saya tanya sebelum ini. Bang, kalau bangunan Utusan abang tau tak kat mana? Ooo, kalau bangunan Utusan tu, kena keluar balik dari traffic light depan tu, ambil kanan terus je sampai jumpa traffic satu lagi dan masuk kanan. Naik terus sampai jumpa bangunan Utusan. Kenapa le saya tak terpikir dari tadi sebut nama bangunan? Takde le buang masa dekat hampir 1/2 jam tawaf sekitar Shamelin. Jalan 3/91A rupanya terpisah jauh dari jalan 3/91. Patutlah dari tadi tak jumpa-jumpa. Sebenarnya tujuan utama saya nak ke Utusan ialah untuk melihat jualan gudang buku. Jualan gudangnya diadakan didalam bangunan Utusan bukannya dibawah kanopi seperti jualan gudang buku yang lazimnya diadakan. Skala jualan gudangnya tidaklah sebesar jualan gudang Dawama. Bagi sesiapa nak beli kamus Utusan, mungkin jualan gudang ini adalah jawapannya. Harga yang ditawarkan agak murah juga.


Bangunan Utusan. Jumpa juga bangunan ni setelah puas 'tawaf' sekitar Shamelin



Ruang yang menghimpunkan buku-buku baru


Ruang lain yang turut menghimpunkan buku-buku yang boleh dibeli dengan diskaun istimewa

Monday, November 9, 2009

Siri artikel "Pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah"

Artikel-artikel yang disertakan dalam entri ini adalah artikel yang berkaitan dengan Syarah Khas Syeikh Fuad baru-baru ini. Untuk melihat kandungan artikel tersebut dengan lebih jelas, klik sahaja pada imej artikel yang dikehendaki.






Siri 1

Siri 2

Siri 3

Siri 4

Siri 5

Kalam Hikam Abi Madyan


Saya ke Taman TAR sebelah petang menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad. Sepatutnya ada dua kitab pada hari itu iaitu kitab Syarah Hikam Abi Madyan dan Mafahim Yajibu an-Tusohhah. Bagaimanapun kitab Mafahim tidak disyarah sebaliknya digantikan dengan syarah khas tentang “Perbezaan pendapat Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan Wahabbi”. Kitab Syarah Hikam Abi Madyan disyarah oleh Syeikh selepas solat asar manakala syarah khas bermula selepas maghrib. Ketika waktu senggang yakni selepas habis syarah hikam saya berkesempatan bertemu Syeikh meminta keizinan beliau untuk menggunakan kitab yang disusun beliau iaitu Pohon Nabawiyyah, Sirah Nabawiyyah dan Himpunan 30 salawat untuk dijadikan teks rujukan tambahan pelajar madrasah saya. Alhamdulillah beliau mengizinkannya.

Siapa sebenarnya Abi Madyan?

Beliau ialah Syeikh al-Faqih al-Muhaqqiq al-Wasil al-Qutb Syeikh Masyaikh al-Islam pada zamannya, al-‘Ubbad al-Zuhhad, Sayyidi Abu Madyan Syu’aib ibn al-Hussin al-Ansori al-Andalusi al-Tilmisani. Beliau berasal dari Asybiliyyah. Antara guru-guru utamanya ialah Syeikh al-Imam Sayyidi Abdul Qadir al-Jilani, al-Wali al-Arif al-Allamah Abi al-Hassan Ali ibn Ismail ibn Hirzihim, al-Allamah al-Faqih al-Hafiz Abi al-Hassan Ali ibn Ghalib dan al-Wali al-Arif Syeikh Abu Ali-Daqqaq. Dengan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, beliau telah membaca banyak hadith di Masjidil Haram dan dipakaikan khirqah serta diberi banyak rahsia-rahsia dan dihiasi pakaian cahaya-cahayanya. Dengan Syeikh Abi al-Hassan ibn Hirzihim, beliau telah melazimi bacaan kitab al-Ri’ayah karangan al-Harith alMuhasibi. Dengan Syeikh Abi al-Hassan Ali, beliau telah belajar kitab Sunan al-Tirmidzi. Dengan Syeikh Abu Ali al-Daqqaq, beliau telah mengambil ilmu tasawwuf darinya.

Dizamannya, beliau digelar Syeikh al-Masyaikh kerana ditangannya, lahir seribu syeikh dari kalangan para wali dan ahli sufi yang memiliki karamah antaranya ialah seperti al-Imam al-Arif al-Muhaqqiq al-Hafiz Sayyidi Muhyiddin Ibnu Arabi (pengarang kitab al-Futuhaat al-Makkiyah yang sangat terkenal itu) dan al-Imam al-Hafiz al-Faqih Abu Muhammad Abdul Haq al-Asybili (pengarang kitab hadith al-Ahkam al-Kubra).

Selain alim dalam ilmu agama, Syeikh Abu Madyan juga adalah seorang penyair dan sasterawan terulung dizamannya. Syairnya sangat indah dan sentiasa dialunkan dalam majlis zikir. Antara bait-bait indah syairnya ialah seperti,

Tidak ada kelazatan hidup melainkan bersahabat dengan fuqara’ (orang yang berhajat kepada Allah);

Mereka adalah sultan-sultan dan penghulu-penghulu dan ketua-ketua

Syair ini pernah disyarahkan oleh Syeikh Muhyiddin ibn Arabi dan Syeikh Ibn ‘Atoillah al-Sakandari. Syeikh Abu Madyan wafat pada tahun 594 Hijrah di sebuah tempat bernama ‘Ubbad di Tilmisan. Hari kewafatannya telah disaksikan oleh ramai umat manusia laksana satu perayaan besar sehinggakan ramai orang fasiq bertaubat apabila melihat ramainya orang menziarahi dan mengiringi jenazahnya.

Rujukan dari Biografi Pengarang Syeikh al-Syuyukh Abu Madyan al-Ghauth tulisan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. 2008. Kehalusan Anugerah Syarah Hikam Abi Madyan. Sofa Production. Kuala Lumpur.



Kitab Hikam yang disyarah pada sebelah petang (selepas Asar)

Hadith Musalsal disampaikan oleh Syeikh Husni Ginting al-Lankati al-Azhari

Pagi itu, telefon bimbit saya berbunyi. Tertera nama Ustaz Zaidi. Enta free tak hari ni? Tanya Ustaz Zaidi. Rasanya free kut, balas saya yang sebenarnya tak berapa pasti. Kenapa ustaz? Tanya saya pula. Kalau cukup quorum, ana nak pergi ambil Syeikh Husni. Dia ada di Gombak sekarang. Boleh sambung pengajian hari tu, jawab Ustaz Zaidi. Ok, InsyaAllah ana datang, janji saya. Padahal isteri saya ke pejabat hari itu untuk menyelesaikan beberapa urusan. Saya dirumah jaga anak-anak. Lebih kurang pukul 2.00 petang isteri saya sampai rumah. Alhamdulillah. Dapatlah saya menyempurnakan janji saya. Saya pun bersiap untuk ke Shah Alam. Ada kira-kira 7-8 orang yang mengikuti pengajian hari itu. Kata Syeikh Husni, macam dah berjanji pula, pengajian pertama hari tu pada 7 September dan kali ini 7 November. Tepat-tepat 2 bulan. Hari itu kami ‘kenyang dengan santapan hadith’. Dalam tempoh lebih 4 jam, kami dijamu dengan tidak kurang dari 30 buah hadith musalsal. Syeikh Husni juga turut bermurah hati mengijazahkan kami sanad beberapa kitab dan amalan termasuk Hizib Bahr.

Penerangan tentang hadith musalsal

Ada yang bertanya saya tentang apa yang dimaksudkan dengan hadith musalsal itu. Bagi menjawab soalan tersebut, berikut saya kutip keterangan dari bahagian belakang kulit buku “Muhammad Nuruddin dan Hadith-Hadith Musalsal yang disusun oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki bagi menghuraikan secara ringkas tentang apa yang dimaksudkan dengan hadith musalsal itu. Penerangan tersebut seperti berikut,

Hadith musalsal sebagaimana definisi yang diberi oleh Imam Nawawi didalam kitab at-Taqrib ialah para perawi berturutan mengikut sanadnya satu persatu pada sifat, keadaan. Ada kala musalsal pada perawi ada kala pada riwayat itu sendiri, sifat rawi dan keadaan mereka. Diantara kelebihan meriwayatkan hadith secara musalsal ialah ia menjadikan hadith yang diriwayatkan oleh perawi lebih tepat dan bersambung dengan baginda Nabi saw didalam keadaan tertentu. Sebaik-baik musalsal ialah setiap yang terdapat padanya petunjuk bahawa hadith tersebut didengar secara langsung dan tidak ada unsur penipuan. Walaupun begitu, amat sedikit hadith musalsal yang selamat dari kecacatan dan kelemahan didalam musalsalnya tetapi bukan pada hadithnya. Bilangan musalsal tidak terhitung banyaknya sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Solah. Adakalanya musalsal pada kebanyakan sanad sahaja seperti musalsal bil awwaliyah, ini kerana jalur yang bersambung hanya kepada Sufyan bin Uyainah. Sesiapa yang meriwayatkan hadith tersebut secara tasalsul sehingga akhirnya maka dia telah keliru. Berkata al-Hafidz Ibn Hajar: Diantara hadith musalsal yang paling sahih pernah diriwayatkan di muka dunia ialah hadith musalsal membaca Surah as-Sof



Syeikh Husni sedang bersiap sedia untuk memulakan majlis

Syeikh Husni dengan al-Fadhil Ustaz Aleh